Karsinoma nasofarinks akan merebak di kawasan nasofaring yang terletak di belakang hidung dan di atas tekak. Ia berada di bawah pangkal tengkorak dan sedikit di atas lelangit lembut. Kanser ini terbentuk dalam kawasan nasofarinks iaitu bahagian belakang rongga hidung yang bersambung hingga ke bahagian atas tekak. Pada masa yang sama, saluran telinga juga mempunyai hubungan dengan kawasan tekak.
Karsinoma nasofarinks berlaku apabila sel DNA mengalami mutasi. Mutasi ini menyebabkan sel-sel terus membiak dan berkembang secara tidak terkawal, sedangkan sel normal mempunyai kitaran hidup yang teratur. Pengumpulan sel kanser ini akan membentuk tumor.
Punca sebenar mutasi gen yang menyebabkan karsinoma nasofarinks masih belum dapat dipastikan. Namun, faktor risiko seperti virus Epstein-Barr telah dikenal pasti meningkatkan risiko kanser ini.
Terdapat 3 jenis kanser dan tumor dalam karsinoma nasofarinks yang boleh dibahagikan kepada 2 kategori iaitu benigna (tidak berbahaya) dan malignan (berbahaya). Kanser nasofarinks kadangkala boleh dikesan pada peringkat awal kerana ia boleh menyebabkan pesakit mengalami pendarahan hidung. Kanser ini jarang ditemui di negara Barat, tetapi lebih banyak berlaku di Asia seperti China, Hong Kong, Malaysia dan negara lain.