Hidrosefalus juga dikenali sebagai “air dalam otak” atau “otak berair”, iaitu satu keadaan perubatan di mana terdapat pengumpulan cecair serebrospinal (CSF) secara tidak normal di dalam ventrikel otak. Hidrosefalus berlaku apabila terdapat sekatan aliran keluar CSF di dalam ventrikel otak.
Sekatan ini boleh berlaku akibat kecacatan kongenital yang menghalang saliran normal cecair, atau disebabkan komplikasi kecederaan kepala dan jangkitan. Keadaan ini akan mengurangkan penyerapan CSF dan pada masa yang sama meningkatkan tekanan dalam otak akibat pembesaran ventrikel. Apabila ventrikel membesar, tisu di sekeliling otak akan menjadi termampat dan meregang. Oleh itu, ia boleh menyebabkan kerosakan otak dan mengancam nyawa.
Simptom biasa hidrosefalus:
- Pembesaran kepala
- Muntah
- Demam
- Gangguan pergerakan
- Lesu
- Mudah marah
- Gangguan memori dan pembelajaran
- Sakit kepala
- Perubahan pada rupa wajah dan jarak mata
- Mengantuk berlebihan
- Kesukaran menyusu atau makan
- Sawan
- Kelewatan perkembangan
- Sering menangis dengan nada tinggi
Simptom hidrosefalus bagi bayi:
- Urat pada kulit kepala kelihatan jelas
- Bahagian lembut di dahi (“soft spot”) menonjol keluar
- Mata sentiasa kelihatan memandang ke bawah
Simptom hidrosefalus bagi warga emas:
- Kehilangan koordinasi kaki
- Cara berjalan tidak stabil
- Tidak dapat mengawal kencing
Semua simptom yang dinyatakan di atas bergantung kepada punca sekatan, tahap kerosakan tisu otak akibat pembengkakan, dan juga usia individu tersebut. Jika anda mengesan simptom-simptom ini pada anak anda atau ahli keluarga lain, sila dapatkan rawatan dengan segera kerana hidrosefalus boleh menyebabkan kematian. |