Apakah Pulmonari Embolisme?
Pulmonari embolisme adalah sekatan secara tiba-tiba dalam arteri di paru-paru. Dalam kebanyakan kes, sekatan itu disebabkan darah beku yang datang ke paru-paru daripada bahagian tubuh yang lain.
Darah beku ini biasanya datangnya dari kaki, tetapi juga boleh berpunca daripada pembuluh darah di lengan, bahagian kanan jantung malah hujung kateter yang ditempatkan dalam pembuluh darah. Dalam kes yang sangat jarang berlaku, lemak atau tisu dari tumor atau kelompok bakteria mungkin boleh berkumpul di arteri paru-paru.
Biasanya pulmonari embolisme lebih berisiko pada orang tua berusia 60 tahun ke atas. Kerana itu bakal haji yang dalam perjalanan ke Tanah Suci dinasihatkan menggerakkan kaki sepanjang penerbangan bagi mengelak ia berlaku.
Pulmonari embolisme adalah komplikasi pada keadaan yang dikenali sebagai Deep vein thrombosis(DVT). DVT adalah darah beku yang terbentuk dalam pembuluh darah dalam (deep veins) dan selalunya terjadi pada kaki. Darah beku boleh pecah, sampai ke paru-paru dan menyekat arteri.
Mengikut statistik Amerika, lebih 600,000 orang diserang pulmonary embolisme dengan 60,000 daripada jumlah itu meninggal dunia.
Bergantung pada tahap penyakit, pulmonari embolisme yang kronik boleh menyebabkan pesakitnya meninggal dunia dalam tempoh 30 minit selepas simptom muncul.
Mereka yang menjalani pembedahan juga berisiko pulmonari endolisme, wanita baru bersalin dan mereka yang mengambil sesetengah jenis pil perancang juga boleh mendapat risiko yang sama.