Biasanya tempat-tempat di luar rahim di mana tisu endometrium ini tumbuh ialah pada kilang telur (ovari), belakang rahim (utero sacral ligament), saluran fallopian, pundi kencing, kadang-kala di tempat-tempat yang aneh seperti parut bekas pembedahan selepas melahirkan anak ataupun pembedahan untuk tujuan lain. Endometrium ini juga boleh tumbuh pada dinding/otot rahim menyebabkan penyakit yang digelar Adenomyosis.
Bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat-tempat yang luar biasa, tidaklah diketahui dengan sebabnya. Terdapat beberapa teori yang cuba menjelaskan berlakunya keadaan seperti ini. Di antaranya ialah ada kemungkinan darah kotor melimpah atau tumpah ke belakang rahim melalui saluran fallopian. Ini mungkin desebabkan oleh kedudukan rahim yang luarbiasa iaitu jatuh kearah tulang tongking (retroverted uterus). Keadaan rahim sebegini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan rahim yang menghadap ke hadapan (anteverted) jarang mendapat penyakit endometriosis.
Ada juga yang menyatakan bahawa tisu endometrium ini di bawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar. Tetapi hakikat sebenarnya tidak diketahui. Ada juga yang mengaitkan bahawa endometriosis ini sering berlaku dikalangan wanita-wanita yang sering tertekan (stress), yang mudah menggelabah dan di kalangan mereka yang sangat mementingkan kerjaya dan mereka yang tinggi I.Q.nya.
Ada juga yang mengatakan bahawa sistem ketahanan pada wanita tersebut telah lemah dan lentur, oleh itu tisu- tisu yang patut keluar dari tubuhnya kini menyerang balik tubuh badannya sendiri. Apa yang terjadi ialah apabila tisu endometrium ini melekat pada tempat-tempat tertentu, ia mulai tumbuh. Lapisan endometrium menjadi tebal akibat daripada rangsangan hormon wanita dalam pusingan haid dan apabila haid berlaku lapisan endometrium tersebut juga akan mengeluarkan darah.
Jika keadaan begini berlaku dalam telur (ovari) lama kelamaan darah akan berkumpul serta menyebabkan apa yang digelar ovarian cysts atau chocolate cysts kerana mengandungi darah kotor yang berbentuk seperti pasta coklat.
|